Friday, May 17, 2024

Goodyear tutup kilang di Shah Alam akhir Jun ini

KILANG Goodyear yang terletak di Shah Alam, Selangor bakal ditutup pada penghujung Jun 2024.

Menerusi satu kenyataan dalaman yang tular, Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang mengumumkan bahawa syarikat berkenaan bakal menghentikan operasi kilang tayarnya di Seksyen 15, Shah Alam tahun ini.

Menurut Madarang, penutupan ini adalah selari dengan program transformasi Goodyear Forward yang disasarkan untuk mengoptimumkan saiz dan portfolio syarikat pengeluar tayar itu, seterusnya akan memberikan margin yang lebih besar serta mewujudkan nilai kepada pemegang saham.

“Program ini merangkumi beberapa langkah spesifik bagi memberikan pengurangan kos tahunan sebanyak AS$1 bilion (RM4.73 bilion) menjelang 2025, bagi memastikan kita kekal kompetitif dan diletakkan sebagai peneraju industri,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau turut menyatakan penutupan kilang berkenaan bakal menjejaskan seramai 550 pekerjanya di Malaysia.

“Kami komited untuk melayan pekerja kami dengan secara terhormat dan telus dalam proses ini,” ujarnya.

Tambahnya, keputusan yang diambil ini bukan mudah, tetapi ia perlu dilakukan untuk jangka masa panjang perniagaan dan para pelanggannya.

Goodyear telah memulakan perniagaannya di Malaysia sejak 1929, manakala kilangnya di Seksyen 15 tersebut merupakan antara kilang terawal yang dibina di Shah Alam.

Kilang itu yang dirasmikan pada 18 Mei 1974 oleh Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak membekalkan tayar untuk kereta pertama Malaysia iaitu Proton Saga pada tahun 1985, dan turut menjadi kilang pertama Goodyear yang menerima pensijilan ISO 9002 pada 1992.

Baca ini > Untung sabut timbul, untung batu tenggelam: MTUC nak bantu bekas kakitangan Utusan Melayu