Friday, May 17, 2024

Kerajaan salur bantuan awal RM10,000 kepada waris magsa nahas halikopter TLDM – Mohamed Khaled

KERAJAAN Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Kementerian Pertahanan juga telah menubuhkan Tabung Khas bagi memudahkan orang ramai menghulurkan sumbangan kewangan kepada keluarga mangsa.

Menurutnya, segala kos perjalanan terakhir yang meliputi penerbangan ihsan dan pengurusan jenazah ditanggung sepenuhnya oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini merakamkan ucapan takziah kepada waris/waris pegawai dan anggota TLDM atas tragedi dua buah helikopter TLDM yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut semalam.

“Kerajaan turut menzahirkan rasa simpati atas kehilangan sepuluh wira-wira negara yang mencurah bakti sehingga ke akhir hayat mereka.

“Lembaga Siasatan (Board of Inquiry) yang ditubuhkan telah diarah untuk menyerahkan laporan awal dalam tempoh 14 hari bekerja dan laporan penuh dalam tempoh 30 hari bekerja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam insiden pada jam 9.32 pagi pada Selasa itu, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut.

Kejadian itu mengorbankan semua mangsa yang ketika itu sedang menjalani raptai perbarisan Sambutan Hari TLDM ke-90 yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Baca ini > Lapan jenazah nahas helikopter disembahyangkan, diberi penghormatan terakhir ikut istiadat rasmi