Sunday, May 5, 2024

Kerajaan serius jadikan pelaburan agenda nasional – Amir Hamzah

KERAJAAN MADANI amat serius menjadikan pelaburan sebagai agenda nasional melalui penubuhan platform pemudahcaraan pelaburan di peringkat tinggi bagi memastikan pelaksanaan pelaburan strategik yang berpotensi dan diluluskan melalui pendekatan “Keseluruhan Kerajaan”.

Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Bersama Pelabur di London, United Kingdom dari 20 hingga 22 April 2024 berkata, “Majlis Pelaburan Negara

(MPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri adalah tindakan bersepadu yang mencerminkan betapa seriusnya kita dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan di rantau ini.”

Dalam pertemuannya bersama kira-kira 70 orang pelabur dana kewangan dan ahli korporat di PNB House dan Asia House, Amir Hamzah  menerangkan tindakan segera Kerajaan MADANI untuk merangsang pelaburan strategik dalam teknologi-teknologi penting seperti:

a) Penubuhan Jawatankuasa Strategik Semikonduktor Nasional (NSSTF) untuk memudahkan kerjasama antara Kerajaan, pemain industri, universiti, dan pihak-pihak berkepentingan yang relevan untuk menempatkan industri semikonduktor Malaysia di barisan hadapan dan memastikan pertumbuhan berterusan industri Elektronik & Elektrik, khususnya sektor semikonduktor, sebagai penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia;

b) Mengupayakan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau pilihan serta menghapuskan halangan dan birokrasi dalam penyediaan dan aksesibiliti kepada tenaga boleh baharu terutamanya bagi industri teknologi baharu, termasuk pusat data; dan

c) Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) untuk menyokong ekosistem yang lebih luas bagi kluster industri Elektronik & Elektrik yang terpusat berpusat di kawasan utara, terutamanya di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas dan Batu Kawan di Pulau Pinang serta Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di Kedah.

“Prospek pelaburan negara telah mencapai tahap yang luar biasa, dengan pelaburan yang diluluskan melonjak kepada RM329.5 bilion pada tahun 2023, menandakan pencapaian bersejarah bagi negara (2022: RM268 bilion). Ini terutamanya terfokus dalam produk Elektronik & Elektrik dan sub-sektor maklumat dan komunikasi (ICT),” katanya.

Beliau berkata sebanyak 74% projek pembuatan yang diluluskan antara tahun 2021 dan 2023 sudah selesai atau dalam proses. Selain itu, nilai besar kerja pembinaan peringkat awal yang selesai pada tahun 2023 (RM31.5 bilion) dan 2022 (RM26.3 bilion) menunjukkan trend positif untuk peluang pelaburan masa depan.

“Daripada jumlah keseluruhan 5,101 projek pelaburan yang diluluskan pada tahun 2023, sebanyak 81.2% atau 4,143 projek adalah dalam sektor perkhidmatan, 883 projek dalam sektor pembuatan, dan 75 projek dalam  sektor utama,” katanya.

Mesyuarat dan sesi dialog bersama pelabur kewangan dan pasaran modal ini adalah sebahagian daripada rangka lawatan kerja Amir Hamzah bersempena dengan kehadiran beliau dalam Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund – IMF) dan Kumpulan Bank Dunia (World Bank Group – WBG) 2024 di Washington D.C., Amerika Syarikat dari 17- 19 April 2024. Mesyuarat-mesyuarat ini juga turut dihadiri oleh Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), YBhg. Datuk Shaik Abdul Rasheed Bin Abdul Ghaffour.

Sebelum ini beliau telah mengadakan pertemuan dengan pelabur-pelabur antarabangsa di New York dan Washington DC dengan tujuan menjelaskan halatuju pelaksanaan kerangka Ekonomi MADANI bagi meningkatkan keyakinan para pelabur terhadap tahap ekonomi Malaysia dan memperkukuhkan persepsi serta sentimen pelaburan pelabur asing terhadap Malaysia.

Tahap keyakinan yang tinggi dan sentimen pelaburan yang kukuh akan dapat meningkatkan pengaliran masuk pelaburan asing langsung (FDI) ke dalam negara.

Baca ini > KEB 2024 akan terus pacu pertumbuhan ekonomi Bumiputera – Amir Hamzah