Monday, May 6, 2024

Skuad bawah 23 Harimau Malaya tewas 0-2 kepada Uzbekistan

SKUAD bawah 23 (B-23) tahun Malaysia gagal mengekang kemampuan Uzbekistan ketika memulakan kempen Piala Asia B-23 2024 di Stadium Antarabangsa Khalifa, Qatar, sebentar tadi.

Dalam aksi Kumpulan D malam ini, Uzbekistan mendahului seawal permainan apabila Jasurbek Jaloliddinov berjaya menjaringkan penalti pada minit ke-11 selepas Syahir Bashah mengasari pemain lawan Ruslanbek Jiyanov.

Dalam separuh masa pertama, skuad Harimau Malaya B-23 gagal untuk mengatur gerakan serangan yang lebih baik dan tidak berjaya menembusi barisan pertahanan lawan.

Bersambung di babak kedua, Malaysia membawa aura positif untuk mencari gol penyamaan selain mengatur beberapa serangan balas yang pantas.

Pasukan muda negara melakukan beberapa pertukaran dan percubaan Daryl Sham hampir membuahkan hasil.

Bagaimanapun, pasukan Uzbekistan yang berjaya menambah jaringan dan memperoleh gol kedua mereka menerusi pemain gantian, Ulugbek Khoshimov pada minit ke-83.

Jaringan itu melengkapkan kemenangan penting buat Uzbekistan yang juga juara 2018 untuk mendahului kumpulan dengan tiga mata sementara menunggu aksi Vietnam dan Kuwait yang akan berlangsung jam 11.30 malam ini.

Skuad negara akan meneruskan saingan Kumpulan D berdepan Vietnam di gelanggang sama, Sabtu ini sebelum mengharungi aksi terakhir menentang Kuwait di Stadium Al Janoub pada Selasa.

Baca ini > Ranking Harimau Malaya kini di tempat 138, jatuh enam tangga