Friday, May 17, 2024

Supamala lakar sejarah sebagai restoran hotpot Szechuan pertama diiktiraf halal di Malaysia

SUPAMALA Hotpot, yang terletak di pusat beli-belah Sunway Pyramid, telah diisytiharkan sebagai restoran hotpot Szechuan pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan halal. Majlis pembukaan rasmi restoran tersebut baru-baru ini yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan merupakan satu pencapaian penting dalam sektor perniagaan makanan dan minuman di Malaysia.

Pencapaian ini menekankan komitmen Supamala untuk membawa pengalaman hotpot Szechuan yang asli kepada masyarakat di negara ini sambil mematuhi standard halal ditetapkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan dan Pengarah SUPAMALA Hotpot, Datuk Azmi Hassan memukul gong melambangkan pembukaan rasmi restoran hotpot Szechuan yang pertama disahkan halal di Malaysia, turut disaksikan oleh Dr Mohammad Fahmi Ngah, exco Hal Ehwal Islam negeri Selangor.

Inspirasi yang mendorong ke arah terhasilnya Supamala bermula apabila salah seorang pengasasnya sering ke Xinjiang, China dan mengalami sendiri keunikan masakan hotpot Szechuan mala di sana lalu memutuskan untuk berkongsi pengalaman tersebut bersama warga tempatan di Malaysia.

Dengan berilhamkan budaya makan bersama yang diamal masyarakat Malaysia, Supamala Hotpot direka sebagai ruang untuk berkongsi emosi dan mencipta kenangan bersama rakan dan keluarga.

Proses mendapatkan sijil halal yang mengambil masa tiga bulan tercapai dengan mengatasi cabaran melalui penyelidikan, membina kerjasama dengan pembekal yang diiktiraf halal dan boleh dipercayai, serta melaksanakan protokol ketat dari segi kebersihan alatan, premis dan pekerja.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan rasmi sijil halal kepada restoran Supamala Hotpot, yang diwakili oleh pengarahnya, Datuk Azmi Hassan. Selain itu, restoran masakan Cina itu juga diberi pengesahan rasmi melalui penyerahan sijil Malaysia Book of Records yang mengiktirafnya sebagai restoran hotpot Szechuan pertama di Malaysia yang diiktiraf halal.

Pegawai Malaysia Book of Records, Edwin Yeoh (paling kiri) menyampaikan sijil rekod kebangsaan kepada Datuk Azmi Hassan (dua dari kanan), mengiktiraf SUPAMALA Hotpot sebagai restoran hotpot Szechuan yang pertama disahkan halal di negara ini, disaksikan oleh Dato’ Ramanan Ramakrishnan (tengah ) dan Dr Mohammad Fahmi Ngah (dua dari kiri).

Upacara itu juga menampilkan penampilan istimewa oleh selebriti terkenal Malaysia, Farah Nabilah dan Diana Danielle, yang terlibat dalam sesi interaktif bersama tetamu.

“Anugerah pensijilan halal yang dicapai oleh Supamala bukan hanya untuk melengkapkan sesuatu syarat dalam perniagaan makanan dan minuman (F&B) tetapi merupakan bukti komitmen kerajaan untuk mencipta persekitaran ekonomi yang memenuhi keperluan pelbagai masyarakat di Malaysia, terutamanya penduduk Muslim dan juga pelawat antarabangsa,” ungkap Ramanan dalam ucapan perasmian beliau.

Dengan menu yang pelbagai merangkumi 70 hidangan dengan lapan jenis kuah, termasuk kuah Szechuan Mala yang terkenal dengan sensasi kekebasan yang unik, Supamala Hotpot menyediakan pengalaman gastronomi yang tiada tandingan. Sempena Ramadan, Supamala menawarkan pakej istimewa dari 12 Mac hingga 12 April 2024, yang terdiri daripada Pakej Asas (bermula dari RM49.90 seorang), Pakej Makanan Laut (bermula dari RM69.90 seorang), dan Pakej Mewah (bermula dari RM119.90 seorang), yang kesemuanya boleh didapati sepanjang hari selama tempoh promosi berlangsung.

Supamala Hotpot merancang untuk membuka tiga cawangan di Lembah Klang menjelang penghujung tahun 2024, dengan visi jangka panjangnya untuk membuka dalam 20 buah restoran Supamala di seluruh Malaysia.

Penubuhan cawangan-cawangan ini bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan Supamala dalam landskap F&B negara, menawarkan pengalaman makanan hotpot Szechuan halal yang unik dan inklusif kepada peminat makanan Malaysia. – REFLEKS!