Thursday, May 2, 2024

7 Individu Hebat Beraksi Dalam Nuansa Teaterikal Pasar Seni: Di Bawah Tiang Lampu

Sempena bulan kemerdekaan, produksi Katarsis Seni menampilkan sebuah projek budaya yang diberi nama Nuansa Teaterikal Pasar Seni: Di Bawah Tiang Lampu.

Projek budaya ini melibatkan seramai tujuh individu hebat daripada pelbagai latar belakang dan membawa naskah hebat untuk tontonan awam.

Mereka adalah Sani Sudin, Sn Datuk Dr Siti Zaiton Ismail, Fairul Pujangga, Moh Azam, Shafa’atussara, Saiful Wazien serta Adiwangsa Sukma.

Dengan penglibatan nama-nama besar ini, Nuansa Teaterikal Pasar Seni: Di Bawah Tiang Lampu adalah sebuah projek budaya yang harus diberi perhatian.

Penasihat program, Dr Norzuraina Mohd Nor berkata, projek budaya ini mengakat Pasar Seni kerana ia merupakan tapak warisan yang melahirkan banyak nama besar.

“Siapa sangka dengan bermula di bawah tiang lampu di Pasar Seni, A. Samad Said, Datuk M. Nasir, Imuda, Pyan Habib, Sani Sudin dan ramai lagi membina nama.

“Masing-masing aktif berkarya dalam mengekspresikan eksperimental seni dan mencetuskan pengembangan budaya ketika itu,” kata Dr Norzuraina.

Nuansa Teaterikal Pasar Seni: Di Bawah Tiang Lampu
Nuansa Teaterikal Pasar Seni: Di Bawah Tiang Lampu

Kata Dr Norzuraina lagi, orang ramai perlu menyokong Nuansa Teaterikal Pasar Seni: Di Bawah Tiang Lampu kerana projek seni ini adalah sesuatu yang cukup bermakna.

“Dengan motto melesteraikan seni, sastera dan budaya bermula dari bawah dan berpasak bumi merdeka, Katarsis Seni berbesar hati ingin mengimbas semula sejarah Pasar Seni.

“Dengan apresiasi kemuncak yang menyajikan konsert teaterikal segar seni, sastera dan budaya, ia ibarat hadiah kepada masyarakat dalam bulan kemerdekaan,” katanya.

Selain Katarsis Seni, Nuansa Teaterikal Pasar Seni: Di Bawah Tiang Lampu turut mendapat penganjuran bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kolej Za’Ba (UPSI).

Pementasan ini akan dijayakan di Panggung Bandaraya DBKL, Kuala Lumpur pada 1 dan 2 September 2023 bermula pukul 8.30 malam.